"Ini... bilik VVIP?" Haeun berbisik sambil matanya memerhati sekeliling bilik hospital mewah yang lebih menyerupai suite hotel lima bintang.
Dinding bercorak lembut, langsir sheer putih bergoyang lembut ditiup angin pendingin hawa, dan meja sisi dihiasi bunga segar. Semuanya kelihatan terlalu indah untuk dikaitkan dengan kata sakit. Tapi, itulah hakikat menjadi anak chaebol. Setiap kali dia demam atau luka, dunia seperti berpusing hanya untuknya.
Namun, hati Haeun tak senyaman ruang itu. Kakinya masih berbalut, dan yang lebih membakar emosi, ingatannya masih terperangkap dalam lorong sempit Sogong-dong, dengan tteokbokki tumpah dan... doktor pelik yang memanggilnya baby.
"Kalau aku jumpa dia lagi, aku akan…" Haeun belum sempat menghabiskan ayat, pintu bilik diketuk perlahan.
Ceklek.
Masuk seorang lelaki dengan kot putih dan clipboard di tangan, rambut sedikit berantakan seperti baru lepas tidur. Haeun terpaku.
"Annyeong, baby~" katanya sambil melambai dengan senyuman senget. Ya, senyuman yang sama seperti semalam.
"YA! KENAPA DOKTOR TU ADA DI SINI?!" jerit hati Haeun.
Taehyun melangkah masuk tanpa malu, seolah-olah dia bukan hanya doktor, tetapi pemilik hospital itu.
"Saya minta maaf jika semalam awak fikir saya main-main. Tapi saya memang doktor praktikal yang ditugaskan di hospital ni… dan, secara kebetulan, saya ditugaskan jaga pesakit VVIP bernama Yoon Haeun. Bunyi macam takdir, kan?"
Haeun menarik selimut ke dagu, rasa tidak selesa. "Boleh tak awak jangan panggil saya 'baby' lagi? Saya pesakit."
"Betul, awak pesakit… hati saya," jawab Taehyun, meletakkan clipboard di meja dan mengambil tempat di kerusi sisi katil. "Lagipun, saya cuma doktor byuntae yang serius dalam kerja dan main-main dalam hati."
"Ugh..." Haeun memalingkan muka ke luar tingkap, cuba menenangkan degupan jantung yang makin kencang, bukan sebab sakit, tapi sebab lelaki ini memang bahaya.
"Okay, mari kita mula pemeriksaan." Taehyun mengambil stetoskop dari lehernya dan mengarahkan Haeun untuk tarik nafas dalam.
"Betul ke cara awak periksa ni?" soal Haeun ragu-ragu.
"Percayalah, saya belajar dari profesor paling garang kat universiti. Tapi gaya saya sendiri lebih... istimewa," jawabnya sambil meletakkan stetoskop ke dada Haeun — di atas selimut.
"Degupan jantung awak laju. Mungkin sebab sakit… atau mungkin sebab saya?"
"AWAK NI GILA!" Haeun terus menepuk bahu Taehyun bukan perlahan.
"Ouch! Tenang, baby! Awak boleh dicaj atas kesalahan menyerang doktor bertugas," gurau Taehyun sambil ketawa kecil.
Di luar, jururawat menoleh dan berbisik antara satu sama lain. "Itu Dr. Kang lagi... pesakit perempuan semua jatuh cinta dengan dia," kata seorang jururawat sambil menahan gelak.
Tiba-tiba, bunyi bip dari monitor kesihatan Haeun berbunyi cepat.
"Eh? Bacaan tekanan darah naik," ujar Taehyun dengan nada serius tiba-tiba. Dia merapatkan muka ke wajah Haeun, hanya beberapa inci.
"Saya rasa awak stres... mungkin sebab saya terlalu dekat?" bisiknya.
Haeun terus menarik bantal dan menekup mukanya.
"YA! KELUAR! Saya nak doktor lain!"
"Sayang, kalau semua doktor macam saya, awak mungkin dah sembuh lebih cepat," katanya sambil bangun dan melambai sebelum keluar bilik. "Tapi kalau rindu saya, tekan butang kecemasan, ya?"
Pintu ditutup perlahan. Haeun menggenggam bantal, wajahnya membara.
"Doktor gila... kenapa dia ada kat sini… dan kenapa aku… tak boleh berhenti senyum ni?"